Kadang hati mendesak untuk meluahkan segala kesah yang menyesak. Tapi hati juga menidak dan meningkah, biar dipendam sahaja biar api menjadi bara, biar bara menjadi debu, agar suatu hari ia tidak diperguna. Pada hakikatnya, sungguh aku mahu mereka tahu yang aku punya HATI. mahu sahaja aku meneriak kerana aku tahu mereka tidak akan mendengar bila aku sorok di dasarnya saja.
Aku mahu mereka tahu aku terluka, aku juga mahu mereka tahu aku bahagia. Mungkin mereka akan lelah ketawa dan aku yakin bukan mereka sahaja. Ketawalah untuk jiwa yang terobek. Ketawalah untuk yang terpisah. Ketawalah untuk yang terjatuh. Ketawalah untuk yang terluka. Ketawalah sepuasnya. Jangan risau, aku juga tengah ketawa. Ketawa yang menutup rawan.
Tidak, aku tak salahkan mereka. Aku yang buta dan khilaf. Yakinkanlah aku dan celikkan aku wahai masa depanku. Sedarlah wahai masa depanku, masa lepasku adalah buta. Ditutup, dikaburi debu kotoran dunia. Tapi ikhlaskah aku dengan tidak menyalahkan mereka atau cuma berpura redha? Hipokritkah aku?
Tahukah mereka yang didasar hatiku menginginkan mereka merasa. Dunia yang mempunyai balas di setiap tindas. Maafkan aku Penciptaku. Hambamu yang hina ini menyimpan dendam. Pemberontakkan dalam diam. Mana ikhlas? Mana redha? Mana maaf? Lelah aku mencari di setiap sudut uratku. Aku sesat. Mohonku, permudahkan pencarian aku.
Aku ingin keluar. Kadang aku nampak cahaya tapi seperti aku lebih selesa dengan gelap. Percayalah diri, Percayalah Hati yang terang itu fitrah. Cubalah berlari kalau mampu, cubalah merangkak, cubalah mengesot. Mencapainya walau selemah cara. Yakin peluang memperbaiki itu ada disetiap detik waktu. Kembalilah luhur hati, bersih jiwa, ikhlas jasad. Setia yang utama pada PenciptaMu.
Malu dengan hakikat aku masih disini. Dendam yang masih gelapkan hati. Satu inci tidak berganjak dari dulu. Masih disini. Sekejap aku melurus, sekejap aku membengkok. Aku masih mencari maksud Istiqomah. Sedikit dugaan aku terus tewas. Sering pedih luka itu menyedarkan, terjaga dari lena yang panjang. Terima kasih Pencipta atas ingatan. Sedarkanlah aku.
